Skip to main content

Apa itu Gingko Biloba?

Apa itu Gingko:
Gingko Biloba adalah sejenis tumbuhan yang didapati daripada pokok Gingko. Walaupun diancam kepupusan pada zaman ais, pokok gingko bertahan dan masih ada di negara China. Ia dipercayai merupakan salah satu spesis pokok yang hidup paling tua di dunia.

Pokok gingko adalah sejenis pokok yang bersaiz besar. Pada kebiasaannya pokok ini boleh mencapai ketinggian 20-35 meter dan ada juga yang mencecah sehingga ketinggian 50 meter di negara China. Pokok gingko tahan kepada angin yang kuat, salji dan juga tahan daripada penyakit menyebabkan ia boleh hidup lama. Daun gingko agak unik kerana ia berbentuk berbentuk seperti kipas dengan urat yang terpancar keluar ke bilah daunnya.

Kegunaan Gingko:
Selama beribu-ribu tahun, daun daripada pokok Gingko Biloba telah menjadi rawatan biasa dalam perubatan tradisional Cina. Suplemen gingko kebanyakan berasal daripada daun. Namun perlu berhati-hati kerana biji gingko berbahaya jika diambil secara mentah.

Para saintis telah menemui lebih daripada 40 unsur kimia utama dalam gingko. Hanya dua unsur kimia yang dipercayai bertindak sebagai ubat iaitu flavonoid dan terpenoid. Flavonoid adalah antioksidan berasaskan tumbuhan. Kajian makmal dan kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa flavonoid melindungi saraf, otot jantung, saluran darah dan retina daripada kerosakan. Terpenoid pula memperbaiki aliran darah dengan mengembangkan saluran darah dan mengurangkan kelekitan platlet.

Oleh itu ramai yang mengambil produk gingko percaya bahawa ia boleh meningkatkan daya ingatan, menajamkan pemikiran dan juga mengatasi masalah peredaran darah. Persoalannya kini, adakah kepercayaan ini disokong oleh fakta saintifik dan klinikal?

Meningkatkan daya ingatan
Ginkgo juga dikenali sebagai "herba otak". Gingko meningkatkan aliran darah ke otak dan bertindak sebagai antioksida. Terdapat beberapa kajian yang mendapati bahawa gingko membantu meningkatkan ingatan dan pemikiran dalam kalangan orang muda dan pertengahan umur yang sihat.

Walau bagaimanapun kesan ginkgo dalam membantu ingatan dalam kalangan individu sihat dan mempunyai masalah memori yang berkaitan dengan faktor usia tidak begitu jelas di mana terdapat kajian yang mendapati sedikit manfaat, manakala kajian lain mendapati tiada kesan.

Perkara ini juga dapat dilihat dalam beberapa kajian yang menunjukkan gingko boleh membantu mencegah perkembangan gejala demensia, terutamanya jika demensia tersebut dianggap sebagai hasil daripada penyakit salur darah. Didapati gingko memberi kesan positif kepada memori dan pemikiran serta memudahkan pengidap alzheimer atau demensia melakukan tugas seharian. Namun pada tahun 2008, terdapat sebuah kajian yang melibatkan 3000 orang warga tua mendapati tiada perbezaan antara warga tua yang mengambil gingko dan placebo untuk mencegah demensia atau Alzheimer.

Selain daripada itu, gingko sering ditambah ke dalam makanan, minuman ringan, dan air buah-buahan untuk meningkatkan daya ingatan dan meningkatkan prestasi mental. Namun jumlah gingko yang ditambah itu adalah dalam kuantiti yang kecil dan mungkin tidak membantu dalam memberikan kesan.

Membaiki pengaliran darah
Oleh kerana dipercayai gingko boleh memperbaiki aliran darah, kajian telah dilakukan kepada pesakit yang mempunyai masalah kurang aliran darah ke kaki. Mereka yang mempunyai masalah ini menghadapi kesukaran untuk berjalan dan berasa sakit ketika berjalan. Analisa daripada 8 kajian menunjukkan bahawa individu yang mengambil gingko cenderung untuk berjalan kira-kira 34 meter lebih jauh daripada mereka yang mengambil placebo. Walau bagaimanapun, senaman dan latihan berjalan menunjukkan keputusan yang lebih baik daripada gingko dalam meningkatkan jarak berjalan kaki.

Degenerasi makula
Flavonoid yang dijumpai dalam ginkgo juga dipercayai boleh membantu memberhentikan atau mengurangkan beberapa masalah berkaitan retina, iaitu bahagian belakang mata. Degenerasi makula yang berkaitan dengan faktor usia adalah penyakit mata yang memberi kesan kepada retina dan boleh menyebabkan buta. Terdapat beberapa kajian yang mencadangkan bahawa gingko boleh membantu mengekalkan penglihatan bagi mereka yang mempunyai masalah degenerasi makula ini. Melihat kepada hasil beberapa kajian, kegunaan gingko memberi harapan baru bagi individu yang mempunyai masalah degenerasi makula untuk mengatasi masalah penglihatan mereka. Walau bagaimanapun lebih banyak kajian klinikal yang berskala besar dan lebih mendalam perlu dilakukan bagi membuktikan kesahihan kesan gingko ini.

Kesan sampingan Gingko
Secara umumnya, makanan tambahan daripada daun ginkgo adalah selamat. Namun kesan kepada sesetengah individu, gingko boleh menyebabkan sakit kepala, pening, jantung berdebar-debar, loya, perut kembung, dan cirit-birit. Manakala kesan alahan gingko pula boleh mencetuskan ruam atau kesan anafilaksis yang serius.

Selain daripada itu, kesan gingko terhadap sesetengah individu boleh menyebabkan berlakunya peningkatan atau penurunan tekanan darah atau mengubah paras gula dalam darah. Justeru, pengguna yang mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau diabetes harus berhati-hati jika mengambil produk gingko ini atau sebarang produk herba, ubat dan makanan tambahan yang boleh mengubah tekanan darah atau paras gula dalam darah.

Nasihat penting sebelum menggunakan gingko biloba
Risiko: Jika pengguna atau pesakit mempunyai masalah gangguan pendarahan, atau sedang merancang untuk menjalani pembedahan, pesakit perlu berbincang dengan doktor sebelum menggunakan produk gingko. Pengambilan produk gingko perlu diberhentikan 1 hingga 2 minggu sebelum melakukan pembedahan atau prosedur berkaitan gigi kerana berisiko untuk berlaku pendarahan tanpa henti.

Biji ginkgo yang mentah pula boleh menyebabkan sawan atau kematian. Oleh itu pengguna dinasihatkan agar tidak mengambil bahagian-bahagian lain gingko secara mentah selain daripada daunya. Selain daripada itu pengguna juga dinasihatkan agar tidak mengambil gingko jika mempunyai sebarang masalah kesihatan seperti diabetes, sawan atau epilepsi dan masalah kesuburan kecuali atas nasihat doktor yang merawat. Gingko juga tidak disyorkan untuk kanak-kanak, wanita mengandung atau yang menyusukan bayi.

Interaksi: Jika pesakit diarahkan untuk mengambil ubat-ubatan secara berterusan untuk penyakit kronik, pesakit perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil produk yang mengandungi gingko. Gingko boleh meningkatkan risiko pendarahan terutama jika pesakit ada mengambil bersama-sama ubat untuk mencairkan darah seperti warfarin, clopidogrel dan asid acetylsalicylic .

Selain daripada itu, gingko juga boleh berinteraksi dengan ubat sawan (antiepileptik). Dos gingko yang tinggi boleh mengganggu keberkesanan ubat antiepileptik seperti carbamazepine dan asid valproic. Gingko juga berinteraksi dengan ubat penahan sakit daripada kumpulan Ubat Antiradang Bukan Steroid (NSAIDs), ubat anti-platelet, ubat anti-kemurungan, ubat diabetes, ubat-ubatan yang diproses melaui hati dan makanan tambahan seperti bawang putih, saw palmetto, St. Johns Wort, dan Yohimbe.

Justeru, pengguna perlu berbincang dan mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi atau doktor yang merawat terlebih dahulu sebelum mengambil produk berasaskan gingko kerana dikhuatiri berlakunya interaksi dengan ubat-ubatan yang sedang diambil. Interaksi tersebut boleh menjadikan kesan ubat lebih aktif atau kurang aktif dan seterusnya boleh memudaratkan pengguna.



Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia













Comments

Popular posts from this blog

Manfaat Buah Aprikot untuk Kesihatan dan Kecantikan. Buah aprikot merupakan buah yang sejenis dengan buah persik dan buah plum. Buah yang tumbuh di dataran rendah ini berasal dari kawasan Asia. Buah aprikot memiliki rasa yang manis, dengan warna kulit orange dan isinya berwarna kuning. Baik buah maupun bijinya memiliki kandungan nutrisi yang cukup banyak. Tak heran bila buah aprikot dapat memberikan manfaat baik untuk kesihatan dan kecantikan seperti berikut ini. 1.Mengatsi Anemia Penyakit anemia dapat menyebabkan tubuh menjadi lemas, pusing dan wajah pucat. Anemia yang disebabkan kurangnya sel darah merah dalam tubuh dapat diatasi dengan mengambil buah aprikot secara rutin. Buah aprikot mengandung mineral berupa zat besi dan tembaga yang merupakan elemen penting dalam pembentukan sel darah merah. Kedua mineral tersebut merangsang pembentukan hemoglobin yang mengikat oksigen di dalam darah. 2. Mencegah Sembelit Masalah sembelit sering dialami oleh orang yang tidak menyukai s
MENGAPA MUDAH MEMBELI SECARA ONLINE? Jimat Masa  – Tak dinafikan, banyak masa kita jimat dengan membeli barang secara online. Kalau kita ke shopping complex atau kedai untuk membeli barang, ia memakan masa kita untuk ke sana. Dengan pembelian secara online, kita tidak lagi perlu membuang ‘emas’ kita. Kita dah jimat masa kita. Jimat Wang  – Selain dari jimat masa, kita juga boleh jimat wang. Kita jimat minyak atau kos transportasi untuk ke tempat membeli barangan yang kita ingin beli. Selain dari itu, barangan yang dijual secara online kalau di lihat dengan teliti, adalah jauh lebih murah berbanding yang ada di tempat tempat yang menjual barang tersebut. Bukan sahaja murah, untung-untung kita dapat diskaun lagi dengan pembelian yang kita buat. Banyak Pilihan  – Selain dari kita jimat wang dan masa, kita punya banyak pilihan dari segi produk yang kita ingin beli secara online. Kita ambil contoh, di  Zalora Malaysia  hari ini, terdapat pelbagai jenis fashion dari pelbagai jenis jen
TIPS/CARA PALING MUDAH BANTU ANDA MUDAH TIDUR DENGAN LENA. ~Pastikan anda memilih  bantal yang selesa dan tidak membuat anda sakit leher,contohnya tidak terlalu keras atau terlalu lembik. ~Segera padamkan lampu sebelum tidur,kerana cahaya lampu akan mengganggu proses tidur.Jika tidak mahu terlalu gelap.anda boleh guna lampu tidur yang bercahaya malap. ~Elakkan makan berlebihan di malam hari supaya tubuh kita boleh berehat dengan baik. ~Bersenam secara konsisten di siang hari juga boleh membantu menstabilkan suhu tubuh dan mudah lena pada waktu malam. ~Jika hobi anda membaca sebelum tidur..seeloknya pilih bacaan yang ringan dan santai. ~Amalkan minum air kosong atau susu segelas 1 jam sebelum masuk tidur.Anda juga boleh cuba secawan teh chamomile,teh pudina,teh halia atau secawan coklat panas. ~Amalkan pengambilan suplemen yang bagus untuk jantung,minda,penghadaman dan pertumbuhan sel baru,sebelum tidur. ~Cuba mandi sebelum tidur,ianya boleh membantu menenangkan mind